Langkau ke kandungan utama

Perutusan Ketua Pegawai Eksekutif

Selamat datang ke Hospital UCSI, di mana kesihatan dan kesejahteraan anda sentiasa menjadi keutamaan kami. 

Sejak ditubuhkan pada tahun 2021, Hospital UCSI telah menjadi institusi penjagaan kesihatan yang dipercayai oleh masyarakat di Springhill, Negeri Sembilan dan kawasan sekitarnya. Sebagai hospital swasta pertama dan satu-satunya di Malaysia yang mengintegrasikan sayap perkhidmatan awam, dikenali sebagai Sayap Rakyat (Rakyat Wing), Hospital UCSI komited untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang mampu diakses oleh semua.

Sejak mula beroperasi, Hospital UCSI telah memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam, memperluaskan akses kepada rawatan yang lebih cepat serta mengurangkan tempoh menunggu pesakit. Melalui model unik ini, golongan B40 berpeluang mendapatkan rawatan daripada doktor yang sama dan mengikut piawaian klinikal yang setara dengan perkhidmatan swasta, tetapi pada kos yang lebih berpatutan. Pendekatan ini membolehkan lebih ramai rakyat menerima rawatan perubatan berkualiti tinggi secara lebih saksama dan mudah diakses.

Hospital UCSI turut disokong oleh barisan pakar perubatan yang disegani, termasuk bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Penjagaan Kesihatan UCSI. Di bawah kepimpinan beliau, Hospital UCSI terus berkembang bukan sahaja sebagai pusat rawatan pesakit, malah sebagai hab kecemerlangan pendidikan dan pembangunan perubatan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, UCSI telah menubuhkan Pusat Pendidikan dan Latihan Perubatan bagi melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Melalui latihan berasaskan amalan klinikal, pembelajaran berterusan dan penekanan terhadap kecemerlangan perubatan, kami memastikan generasi baharu pengamal kesihatan bersedia untuk berkhidmat dengan penuh kemahiran, empati dan keyakinan. Komitmen terhadap pendidikan ini turut diperkukuhkan melalui kerjasama berterusan dengan institusi terkemuka dari seluruh dunia bagi memajukan sains perubatan dan penyelidikan.

Selain kemudahan moden dan inisiatif pendidikan yang menyeluruh, Hospital UCSI turut menempatkan barisan pakar perubatan terkemuka negara, termasuk Prof Dr Raja Amin Raja Mokhtar dan Datuk Dr David Tang Teik Yew yang terkenal dalam bidang pembedahan kardiotorasik. Dedikasi mereka terhadap penjagaan pesakit, kecemerlangan klinikal dan peningkatan hasil rawatan telah membantu ramai pesakit yang berdepan masalah jantung yang kompleks untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Selain kepimpinan yang berwibawa dan kepakaran perubatan yang kukuh, Hospital UCSI turut diiktiraf atas mutu penjagaan yang diberikan kepada setiap pesakit. Sejak pembukaannya, lebih 40,000 pesakit telah menerima manfaat daripada pelbagai perkhidmatan kesihatan yang kami sediakan. Terdapat banyak kisah pesakit yang menghubungi kami melalui platform media sosial sebelum menerima rawatan dan pembedahan yang telah mengubah kehidupan mereka. Di Hospital UCSI, setiap pesakit sentiasa menjadi keutamaan dalam segala yang kami lakukan.

Penjagaan pesakit merupakan teras kepada setiap keputusan dan tindakan kami. Komitmen kami tidak terhenti setakat merawat penyakit, malah kami sentiasa bersama pesakit sepanjang proses pemulihan mereka, memberikan sokongan dan bimbingan yang diperlukan dalam usaha ke arah kehidupan yang lebih sihat dan berkualiti. 

Di Hospital UCSI, kami sentiasa berusaha menetapkan penanda aras baharu dalam penyampaian penjagaan kesihatan. Kami percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan kesihatan, berhak menerima rawatan terbaik yang memenuhi keperluan mereka.

Yang benar,

Dato’ Peter Ng

Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital UCSI